Allahyarham Tun Dato’ Dr. Haji Mohd Salleh Abas

S.S.M., P.M.N., P.S.M., P.Y.G.P., S.P.M.T., D.P.M.T., J.M.N., S.M.T.
LLB (Hons) (Wales).

  • Peguam di Middle Temple.
  • Peguam Cara Negara 1969-1979.
  • Hakim Mahkamah Persekutuan 1979-1984.
  • Ketua Hakim 1984-1988.
  • Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan 1998-2000.
  • Ahli Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia 2004-2005.
Tun Dato’ Dr. Haji Mohd Salleh Abas dilahirkan di Kampung Raja, Besut, Terengganu di Semenanjung Malaysia pada tahun 1929. Beliau telah menamatkan Bachelor Undang-undang di University College of Wales di Aberystwyth pada tahun 1954. Beliau telah diterima sebagai peguam di Middle Temple pada tahun 1955.

Pada tahun yang sama beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Timbalan Pendakwa Raya Awam di negeri kelahirannya. Pada tahun berikutnya beliau dilantik menjadi majistret di Kota Bharu. Beliau dinaikkan pangkat menjadi Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan kemudian menyandang jawatan Penasihat Undang-undang kepada Negeri Sembilan dan Melaka. Bermula daripada tahun 1969 sehingga 1979 beliau menjadi Peguam Cara Negara dan dalam tempoh berkenaan beliau menjadi Felo Universiti Harvard pada tahun 1971. Beliau telah dinaikkan pangkat kepada Hakim Mahkamah Persekutuan pada tahun 1979.

Empat tahun kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dari tahun 1984 sehingga 1988. Beliau juga telah dilantik menjadi hakim Mahkamah Rayuan Syari’ah di Kelantan. Pada tahun 2004, beliau dilantik menjadi ahli di dalam Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia. Y.A.Bhg. Tun Salleh dikurniakan pingat Sri Mahkota Terengganu oleh Yang Teramat Mulia Sultan Terengganu pada tahun 1963, pingat Johan Mangku Negara oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan pada 1968 beliau dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu oleh Yang Teramat Mulia Sultan Terengganu. Beliau juga dianugerahkan Sijil Penghargaan di atas perkhidmatan yang diberikan semasa peristiwa 13 Mei 1969.

Pada tahun 1971, beliau dikurniakan Panglima Setia Mahkota oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Pada 5 Jun 1985, Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong mengurniakan beliau Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM).

Scroll to Top