Apa Itu Hukum Faraid?

Apa itu hukum faraid

Isi Kandungan

Maksud Hukum Faraid

Hukum Faraid adalah peraturan dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang.

Hukum Faraid adalah satu aspek penting dalam hukum keluarga Islam dan ia merupakan suatu perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi oleh semua umat Islam. Seperti mana yang ditetapkan dalam firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 11-12.

Dalam hukum syarak, Ahli waris yang mempunyai hak Faraid ke atas pusaka si mati mestilah :

  1. Mempunyai pertalian darah
  2. Seorang Muslim dan
  3. Mempunyai pertalian perkahwinan

Kepentingan Faraid

Pembahagian harta pusaka dalam hukum Faraid merupakan satu tindakan penting yang akan memastikan harta pusaka disalurkan dengan adil dan saksama kepada ahli waris yang berhak menerimanya.

Selain itu, ia juga membantu mencegah konflik dalam keluarga serta menyelamatkan harta pusaka dari keadaan tidak dapat diuruskan.

Hukum Faraid juga memastikan bahawa hak-hak ahli waris yang lemah dan tidak berdaya dilindungi, seperti hak-hak anak kecil dan isteri (balu) yang ditinggalkan oleh suami yang telah meninggal dunia.

Hukum Faraid ini adalah ketentuan Allah S.W.T yang telah menetapkan siapa yang berhak mendapat bahagian Faraid dan berapa bahagian Faraid yang waris-waris akan diterima setelah berlakunya kematian seseorang.

Boleh rujuk pada blog berikut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kepentingan Faraid seperti dinyatakan di atas :-

  1. Hak & Tanggungjawab Dalam Pembahagian Pusaka Secara Faraid

Harta Yang Boleh Difaraidkan

Harta tersebut adalah milik si mati – Harta yang boleh difaraidkan adalah harta yang dimiliki oleh si mati pada waktu kematian dan harta tersebut mestilah datangnya dari sumber yang halal.

Antara harta-harta yang boleh difaraidkan:

  1. Harta-harta tidak alih seperti Tanah, Bangunan dan harta yang sukar dicairkan.
  2. Harta-harta alih seperti barang kemas, wang simpanan, saham dan kereta.

Waris Yang Berhak Mendapat Harta Pusaka Mengikut Hukum Faraid

Ashabul Furud

Ashabul Furud adalah golongan yang mengambil harta pusaka dengan bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8.

Ashabul Furud terdiri daripada

  1. Suami
  2. Isteri
  3. Bapa
  4. Ibu
  5. Datuk
  6. Nenek
  7. Anak Perempuan
  8. Cucu Perempuan (anak lelaki)
  9. Saudara Perempuan Kandung (Seibu Sebapa)
  10. Saudara Perempuan Sebapa
  11. Saudara Perempuan Seibu
  12. Saudara Lelaki Seibu

Ahli waris dalam hukum syarak terbahagi kepada 3 kategori utama iaitu waris utama, waris gantian dan waris sisian.

  1. Siapakah Waris Utama
    Ibu, Bapa, Suami, Isteri, Anak Lelaki dan Anak Perempuan. Golongan itu wajib mewarisi Faraid dan tidak akan terhalang sama sekali daripada mewarisi harta si mati. Hak mereka ini hanya akan gugur sekiranya mereka ini murtad atau disahkan sebagai pembunuh si mati atau menjadi punca kematiannya.
  2. Siapakah Waris Gantian
    Waris ini akan mewarisi harta si mati sekiranya waris utama tiada, maka mereka menggantikan tempat ahli waris utama dalam menerima pusaka seperti datuk menggantikan tempat bapa, nenek menggantikan tempat ibu dan anak perempuan kepada anak lelaki menggantikan tempat anak perempuan.
  3. Siapakah Waris Sisian
    Adik beradik, bapa saudara, ibu saudara atau anak lelaki kepada adik beradik simati. Dimana mereka ini akan mewarisi Faraid sekiranya tiada waris utama dan gantian.

Siapakah Waris Penghalang (Asabah)

Waris ini merupakan dinding atau penghalang kepada waris sisian untuk mewarisi harta si mati.

Mereka adalah:

  1. Anak lelaki
  2. Bapa
  3. Cucu lelaki daripada anak lelaki

Kewujudan mereka ini akan menghalang waris sisian untuk mewarisi Faraid.

Sebagai contoh, si mati meninggalkan isteri, ibu dan 2 anak lelaki serta adik beradik lelaki dan perempuan maka adik beradik si mati tersebut tidak akan mendapat bahagian Faraid kerana terhalang oleh waris penghalang iaitu anak lelaki tersebut.

Jenis Waris Asabah

Merupakan golongan yang akan menerima baki setelah semua golongan Ashabul-Furud telah mendapat bahagian golongan asabah.

Terdapat 3 jenis asabah iaitu:

  1. Asabah Bi Al-Nafsih
  2. Asabah Bi Al-Ghayr
  3. Asabah Maa’ Al-Ghayr
Asabah Binafsih

Merupakan golongan lelaki yang akan menghabisi keseluruhan lebihan harta kerana diri mereka adalah lelaki.

Terdiri daripada 12 golongan lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki daripada saudara lelaki kandung, anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki kepada bapa saudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa.

Asabah Bi Al-Ghayr

Merupakan golongan wanita yang akan menghabisi lebihan harta dengan sebab mereka mewarisi harta bersama waris lelaki.

Terdiri daripada 4 golongan iaitu:

  1. anak perempuan ketika mewarisi bersama anak lelaki,
  2. cucu perempuan ketika mewarisi bersama cucu lelaki,
  3. saudara perempuan kandung ketika mewarisi bersama saudara kandung lelaki; atau
  4. saudara perempuan sebapa ketika mewarisi bersama saudara lelaki perempuan sebapa.
Asabah Maa’ Al-Ghayr

Pembahagian harta pusaka dengan cara menghabiskan seluruh lebihan harta ketika mewarisi bersama golongan Wanita yang lain.

Terdiri daripada 2 golongan perempuan iaitu;

  1. Saudara perempuan kandung
  2. Saudara perempuan sebapa ketika mewarisi bersama anak perempuan atau cucu perempuan.

Muqasamah

Muqasamah adalah perkongisan.

Muqasamah berlaku sekiranya datuk mewarisi bersama saudara kandung lelaki (abang kandung) atau saudara lelaki sebapa di mana datuk dianggap sebagai salah seorang daripada saudara lelaki tersebut.

Oleh itu, cara pembahagian datuk dan saudara kandung lelaki atau saudara lelaki sebapa adalah sama.

Sebagai contoh, sekiranya datuk mewarisi bersama saudara perempuan kandung serta saudara lelaki kandung.

Datuk dan saudara lelaki kandung akan mendapat 2 bahagian melebihi bahagian saudara perempuan kandung mengikut kaedah asobah bi al-ghayr.

  • Datuk mendapat 2/5
  • Saudara Lelaki Kandung mendapat 2/5
  • Saudara Perempuan Kandung mendapat 1/5

Boleh rujuk pada blog berikut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai situasi ahli waris yang berkaitan seperti dinyatakan di atas :-

  1. Hak Isteri-Isteri dalam Keluarga Berpoligami
  2. Hak Faraid bagi Pasangan yang Bercerai

Ketahui Berapa Bahagian Faraid Waris

Bahagian Faraid Suami

Suami akan mendapat 1/2 bahagian, sekiranya si mati tidak mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu ke bawah.

Suami akan mendapat 1/4 bahagian, sekiranya si mati mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu ke bawah.

Bahagian Faraid Isteri

Isteri akan mendapat 1/4 bahagian, jika si mati tidak mempunyai anak (lelaki/perempuan) ke bawah.

Isteri akan mendapat 1/8 bahagian, jika si mati mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu ke bawah.

Bahagian Faraid Bapa

1/6

Jika si mati mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki ke bawah

1/6 + Asabah

Jika si mati mempunyai anak perempuan

Asabah
Jika si mati tidak mempunyai anak (lelaki/perempuan), cucu perempuan dari anak lelaki ke bawah

Bahagian Faraid Ibu

1/6

Jika si mati mempunyai anak, atau cucu lelaki dan perempuan daripada anak lelaki ke bawah atau mempunyai beberapa orang saudara (lelaki/perempuan)

1/3 daripada keseluruhan harta
Jika si mati mempunyai seorang saudara lelaki atau saudara perempuan sahaja dan tiada anak atau cucu ke bawah
1/3 daripada baki harta
Jika si mati meninggalkan salah seorang suami atau isteri, ibu dan bapa tanpa waris lain

Bahagian Faraid Datuk (Bapa Kepada Bapa)

1/6

Jika si mati mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki ke bawah

1/6 + Asabah
Jika si mati mempunyai anak perempuan sahaja
Asabah
Jika si mati tidak mempunyai anak (lelaki/perempuan), cucu perempuan dari anak lelaki ke bawah
Terdinding Oleh
Bapa

Bahagian Faraid Datuk Bersama Saudara Seibu Sebapa Atau Saudara Sebapa

Sekiranya si mati meninggalkan datuk dan saudara seibu sebapa atau sebapa tanpa ada waris-waris lain: Datuk akan mendapat mendapat antara 1/3 atau muqasamah. (mana yang lebih banyak)

Sekiranya si mati meninggalkan datuk dan saudara seibu sebapa atau sebapa bersama-sama waris-waris lain juga: Datuk akan mendapat antara 1/6, 1/3 baki atau muqasamah. (mana yang lebih banyak)

Bahagian Faraid Nenek

Nenek tidak akan mewarisi harta selagi ada ibu.

Nenek hanya mendapat 1/6 samada seorang atau lebih.

Bahagian Faraid Anak Perempuan

Anak perempuan akan mendapat 1/2 bahagian jika seorang;

Anak perempuan akan mendapat 2/3 jika dua orang atau lebih;

Anak perempuan akan mendapat Asabah bi al-Ghayr ketika mewarisi bersama dengan anak lelaki.

Bahagian Faraid Anak Lelaki

Mendapat dua kali ganda bahagian anak perempuan dengan nisbah 2:1;

Akan sentiasa mendapat Asabah/lebihan harta.

Bahagian Faraid Cucu Perempuan Daripada Anak Lelaki

1/2
Jika seorang
2/3
Jika 2 orang atau lebih
1/6
Jika bersama-sama seorang anak perempuan
Asabah Bi Al-Ghayr
Ketika bersama-sama dengan cucu lelaki dari anak lelaki
Terdinding Oleh
Anak lelaki, 2 orang anak perempuan

Bahagian Faraid Saudara Perempuan Kandung (Seibu Sebapa)

1/2
Jika seorang
2/3
Jika 2 orang atau lebih
Asabah Bi Al-Ghayr
Ketika bersama saudara lelaki seibu sebapa
Asabah Ma’a Al-Ghayr
Ketika bersama-sama anak perempuan atau/dan cucu perempuan daripada anak lelaki
Terdinding Oleh
Anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki ke bawah dan bapa

Bahagian Faraid Saudara Perempuan Sebapa

1/2
Jika seorang
2/3
Jika 2 orang atau lebih
1/6
Jika bersama dengan seorang saudara perempuan seibu sebapa
Asabah Bi Al-Ghayr
Jika bersama dengan saudara perempuan sebapa
Asabah Ma’a Al-Ghayr
Ketika bersama dengan anak perempuan atau/dan cucu perempuan dari anak lelaki
Terdinding Oleh
Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki, bapa, saudara lelaki seibu sebapa, dua orang saudara perempuan seibu sebapa (kecuali jika ada saudara lelaki sebapa) dan oleh seorang saudara perempuan seibu sebapa, dia menerima Asabah Maa’ Al-Ghayr.

Bahagian Faraid Saudara Lelaki/Perempuan Seibu

1/6
Jika seorang
1/3
Jika 2 orang atau lebih
Terdinding Oleh
Anak samada lelaki atau perempuan, bapa ke atas

Boleh rujuk pada blog berikut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai situasi pembahagian Faraid yang berkaitan seperti dinyatakan di atas :-

  1. Hukum Faraid jika suami meninggal dunia
  2. Pembahagian Harta Sepencarian Dalam Poligami Menurut Undang-undang Keluarga Islam

Hukum Faraid Berdasarkan Al-Quran

Firman Allah S.W.T dalam…

1) Surah An-Nisa ayat 11:

“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya; satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

2) Surah An-Nisa ayat 12:

“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.”

Artikel Berkaitan

Faraid calculator
Faraid Kalkulator
Scroll to Top