Dato’ Setia Haji. Mohd Tamyes bin Abd. Wahid

S.S Dato’ Sri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor.
B.A. Syariah Wal Qanun, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Dato’ Setia Haji. Mohd Tamyes bin Abd. Wahid merupakan Mufti bagi negeri Selangor, dilahirkan di Kampung Parit 4 ½ Barat, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Setelah selesai menamatkan pendidikannya di sebuah sekolah Melayu, beliau menyambung pelajaran di Ma’ahad Ehyaul Falah, Sungai Besar di mana beliau memperolehi Sijil Rabie’ Thanawi (Jayyid) pada akhir tahun 1969. Beliau meneruskan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan telah menamatkan Bachelor Syariah pada Julai 1977.

Pada Oktober 1977, beliau memasuki Fakulti Pendidikan, Universiti Ain Syams, di Kaherah, Mesir dimana beliau memperolehi Diploma Pendidikan dalam Bahasa Arab pada tahun 1978. Beliau memulakan kariernya sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UiTM pada Julai 1979. Beliau kemudiannya menjadi Pengetua di sebuah Sekolah Agama yang berprestij di Selangor. Beliau menjadi Mufti Selangor pada tahun 1998.

Beberapa tahun kebelakangan ini, S.S Dato’ Seri Setia Haji Tamyes telah terlibat di dalam kebanyakkan aktiviti perkhidmatan awam. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli Dewan Diraja Selangor, Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahli Jawatankuasa Lembaga Teks Al-Quran KDN, Ahli Jawatankuasa Bahan-bahan Berunsur Islam KDN, Ahli Jawatankuasa Tadbir Masjid Negeri, Ahli Jawatankuasa Kecil Baitulmal MAIS, Ahli Jawatankuasa Kecil Pelaburan MAIS dan Ahli Jawatankuasa Kecil Wakaf MAIS.

Sebagai tambahan, S.S Dato’ Seri Setia Haji Tamyes juga bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor selain itu Jawatankuasa Kod Etika dan Nilai-Nila Murni Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor. Bagi mengiktiraf jasa dan perkhidmatan beliau kepada masyarakat, S.S Dato’ Seri Setia Haji Tamyes telah menerima beberapa anugerah daripada Yang Teramat Mulia Sultan Selangor. Pada tahun 1997, beliau dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT). Pada tahun 2000 pula, Yang Teramat Mulia Sultan Selangor menganugerahkan beliau Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS). Pada tahun 2004, beliau dikurniakan gelaran Dato’ Seri Setia oleh Sultan.

Scroll to Top