
Isi Kandungan
Pembahagian harta pusaka mengikut kaedah faraid adalah pembahagian harta yang berdasarkan dalil-dalil yang sahih daripada Al-Quran. Faraid boleh diwarisi atas sebab pertalian darah, perkahwinan dan agama. Waris utama yang berhak adalah ibu, bapa, suami/isteri dan anak Lelaki dan anak Perempuan.
Apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta, hukum Faraid telah menetapkan bahagian dan peraturan tertentu kepada setiap waris yang ditinggalkan. Ia yang dinyatakan secara khusus di dalam Al-Quran Surah An-Nisa ayat 7, 8, 9, 10, 11 dan 12.
Terdapat perbezaan pembahagian di antara waris lelaki dan perempuan dimana waris perempuan akan mendapat bahagian yang sedikit berbanding waris lelaki. Perbezaan ini secara umum kelihatan tiada kesamarataan serta keadilan di antara jantina dari segi pengagihan.
Hikmah Faraid
Perlu difahami bahawa terdapat hikmah di sebalik perbezaan tersebut. Islam meletakkan tanggungjawab yang besar kepada kaum lelaki berbanding kaum wanita. Kaum lelaki bertanggung jawab untuk melindungi serta menyara waris wanita di bawah tanggungannya. Seorang suami atau bapa bertanggung jawab untuk menyara dan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Adik beradik lelaki merupakan wali yang bertanggungjawab kepada kakak, adik perempuannya serta anak saudaranya yang yatim. Kaum lelaki menerima hak Faraid beserta tanggungjawab. Bahagian Faraid yang diterima oleh kaum lelaki wajar digunakan untuk menyara kaum wanita di bawah tanggunggannya, sebaliknya bahagian yang diterima oleh wanita adalah hak mutlak beliau.
Hukum Faraid sangat menekankan struktur keluarga serta tanggungjawab di mana kaum lelaki berperanan besar sebagai pelindung dan ketua keluarga. Walau bagaimanapun, pada masa kini, segelintir waris gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pelindung dan ketua keluarga. Hak Faraid yang mereka terima digunakan untuk kepentingan peribadi tanpa menghiraukan nasib waris-waris wanita atau anak-anak yatim.
Kesannya, hikmah hukum Faraid gagal difahami oleh orang Islam. Malah mereka beranggapan bahawa ia satu hukum yang rigid, tidak adil dan zalim kerana berlaku diskriminasi dikalangan kaum wanita.
Hukum Allah berkenaan Faraid adalah kekal, namun cara hidup, cara berfikir dan perbuatan manusia yang sering berubah. Janganlah kita menyalahkan hukum Allah. Sebaliknya kita wajar bermuhasabah serta kembali kepada ajaran Islam dan melaksanakan tanggungjawab sepatutnya sebagai seorang Muslim.
Penyelesaian
Faraid adalah satu kaedah pembahagian yang telah ditetapkan oleh Allah apabila berlaku kematian ke atas pemilik harta. Walau bagaimanapun, waris-waris Faraid dibenarkan secara bermuafakat dengan rela hati untuk menolak bahagian Faraid tersebut atau melaksanakan pengagihan mengikut budicara serta persetujuan semua waris.
Bagi mengimbangi Faraid dari segi pengagihan, Islam menyediakan insrumen lain iaitu Hibah sebagai satu kaedah perancangan Harta Pusaka. Hibah adalah pemberian harta tanpa sebarang balasan kepada individu tertentu yang dilaksanakan oleh pemilik harta semasa hayat beliau. Harta Hibah tidak tertakluk kepada hukum Faraid dan ia bukan harta pusaka pemilik harta tetapi ia telah menjadi milik penerima Hibah.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Hibah dan instrumen perancangan pusaka Islam, sila layari laman web www.as-salihin.com atau FB Laman Rasmi as-Salihin Trustee Berhad atau hubungi talian 03-78809595 atau email general@as-salihin.com
Artikel ini disediakan oleh Amna Fazillah Binti Ismail, Timbalan Presiden as-Salihin Trustee Berhad.
