Hibah bagi Harta Bercagar (pinjaman) : Adakah boleh dilakukan ?

Sebagai permulaan, adalah penting untuk kita fahami bahawa penguatkuasaan Hibah adalah melalui undang-undang Syariah di Mahkamah Syariah yang berteraskan Al-Quran, Hadith, Qias dan Ijma’ Ulama sebagai panduan penghakiman.

Hibah perlu memenuhi rukun dan syarat berikut mengikut penetapan Syariah

  1. Pemberi Hibah
  2. Penerima Hibah
  3. Barang atau harta yang dihibahkan
  4. Sighah (Ijab dan Qabul)

Maksud ‘Harta Bercagar’ :

Cagaran bermaksud harta yang dibeli, digadai atau diserah hak (melalui proses pendaftaran gadaian keatas hakmilik tersebut) kepada institusi kewangan atau kerajaan atau individu sebagai jaminan untuk menjamin kepentingan pihak tersebut yang memberi pinjaman untuk membolehkan bayaran pinjaman dikeluarkan kepada penjual atau pemaju.

Hartanah bercagar ini hanya akan dilepaskan dari gadaian dan/atau surat ikatan penyerahan hak akan hanya dibatalkan setelah peminjam (pemilik hartanah) menyelesaikan segala pinjaman yang dibuat.  Justeru itu , sepanjang tempoh pinjaman dan selagimana pinjaman tersebut  tidak diselesaikan  maka  sebarang transaksi pindahmilik ke atas harta bercagar tidak boleh dilaksanakan oleh pemilik hartanah tersebut tanpa kebenaran dan kelulusan  daripada pemegang gadaian /cagaran tersebut.  Ini adalah kerana hartanah tersebut adalah satu jaminan bagi pinjaman yang telah dikeluarkan  oleh pihak pemegang gadaian, atau penerima serah hak.

Perkaitan rukun Hibah dan harta bercagar :

1) Pemberi hibah:

Hendaklah seorang yang berkeahlian (Mukallaf) iaitu sempurna akal serta matang dan berkemampuan menguruskan harta. Pemberi hibah mestilah mempunyai pemilikan ke atas barang yang dihibahkan. Pemilik harta yang mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had dari sudut kadar dan penerima tertentu termasuk bukan ahli keluarga atau kepada orang bukan Islam.

Barang atau harta yang hendak dihibahkan :

  1. Harta yang halal dan mempunyai nilai di sisi syarak
  2. Milik pemberi Hibah
  3. Boleh diserah dan dipindahmilik
  4. Wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan.
  5. Harta tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan contohnya tanaman atau bangunan di atas tanah.

Pandangan Mazhab Syafie dan Hanbali

Melihat kepada hibah hartanah bercagar, pemilikan harta pemberi hibah dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna (Milk Al-Naqis), kerana harta tersebut bukan sepenuhnya milikan pemberi hibah kerana  wujud kepentingan atau hak pemegang gadaian.  

Menurut  Mazhab Syafie, dan Hambali,  hibah hartanah bercagar adalah tidak sah kerana  elemen penyerahan milikan (Qabd)  dan elemen dominasi dan menggunakan tanpa sekatan (Tasarruf ) ke atas  harta tersebut  tidak dapat  dipenuhi dalam syarat akad  ijab dan qabul kerana wujudnya jaminan dan sekatan daripada  pemegang cagaran.

Lantaran itu, hibah yang dilakukan ke atas pemilik hartanah bercagar dianggap sebagai sesuatu yang tidak memenuhi syarat pembentukan akad kerana beliau tiada milikan penuh ke atas harta tersebut.

Pandangan Mazhab Maliki dan Hanafi

Walau bagaimanapun, terdapat ulama’ yang membenarkan hibah bagi hartanah yang milik orang lain, dengan syarat  mendapat kebenaran pemegang cagaran  tersebut. Keizinan pemegang tersebut pula tidak semestinya wujud semasa akad hibah, tetapi ianya boleh berlaku selepas ijab dan kabul. Kelayakan (Wilayah) merupakan syarat yang boleh ditangguhkan hingga mendapat keizinan pemegang cagaran dan ianya bukan sebagai satu syarat pembentukan akad (syarat Al-Nafadz).

Hartanah bercagar dikira bukan milik sempurna pemiliknya dan wujud pihak lain yang berkepentingan, pemegang cagaran iaitu institusi kewangan. Hibah tersebut adalah sah selagimana institusi kewangan tersebut memberi kebenaran, walaupun dalam tempoh yang lama selepas akad Hibah dibuat. Menurut  pandangan ini, ia menyatakan bahawa hibah hartanah bercagar adalah dibolehkan.  Praktikalnya, kebenaran daripada institusi kewangan kebiasaannya hanya akan diperolehi setelah proses tebus hutang diselesaikan, sama ada melalui perlindungan takaful/insurans yang melindungi peminjam sekiranya ada.

Rujukan kes Hibah Hartanah Bercagar di Mahkamah Syariah

1) Awang bin Abdul Rahman lwn. Shamsuddin bin Awang & lain-lain : Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan bahawa hibah hartanah bercagar adalah tidak sah kerana harta tersebut tidak dikira pemilikan sempurna, bahkan sebagai suatu tanggungan.

2) Wan Noriah binti Wan Ngah : Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu juga menolak permohonan pengesahan hibah dalam kes hartanah yang masih di bawah pembiayaan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia.

3) Raihanah Binti Mohd Ali lwn. Kamaruddin bin Mohd Nor & lain-lain [2008] : Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu telah menolak permohonan plaintif untuk mengesahkan Hibah yang telah dibuat oleh adiknya (si mati) kepadanya. Ia kerana plaintif gagal membuktikan bahawa si mati telah memperolehi kebenaran daripada pembiaya untuk menghibahkan hartanah tersebut kepadanya

Di dalam penghakiman, Mahkamah juga tidak menerima kewujudan takaful yang melindungi hutang pemberi hibah sebagai keizinan tersirat. Keizinan pemegang cagaran hendaklah dibuktikan secara zahir dan tersurat.

4) Yati Suraya lwn. Supiah Binti Abu : Mahkamah Syariah Negeri Sembilan membenarkan hibah hartanah bercagar walaupun tanpa izin pemegang gadaian, selagimana hartanah bercagar tersebut dilindungi sepenuhnya oleh takaful/insuran.

Kesimpulan penghakiman berdasarkan fakta kes :

  1. Kecenderungan Hakim Syarie kepada pandangan Mazhab Syafie dan Hanbali, penghakiman mereka menolak hibah hartanah bercagar secara mutlak. Mereka melihat bahawa pemberi Hibah tiada wilayah ke atas harta Hibah dan tidak layak untuk melakukan tasarruf atas harta tersebut.
  2. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar selagimana mendapat izin daripada pemegang cagaran berdasarkan kepada pandangan Mazhab Hanafi. Keizinan ini mestilah diperolehi secara zahir dan tersurat. Perlindungan takaful/insuran tidak dianggap sebagai satu keizinan daripada pemegang cagaran.
  3. Hakim syarie yang membenarkan hibah hartanah bercagar selagimana mendapat izin daripada pemegang cagaran serta menerima kewujudan takaful/insurans yang melindungi pinjaman harta tersebut secara penuh sebagai satu keizinan secara tersirat. Penghakiman ini adalah berdasarkan pandangan Mazhab Maliki.

RUMUSAN

  1. Perlaksanaan Hibah adalah tertakluk kepada hukum Syarak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
  2. Melihat kepada Hibah Harta Bercagar, perlaksanaannya adalah bergantung kepada penghakiman di Mahkamah Syariah berdasarkan beberapa pandangan serta amalan yang berbeza.
  3. Kes-kes terdahulu tidak mengikat penghakiman yang baharu dalam membuat keputusan bagi kes selainnya.
  4. Kewujudan perlindungan pinjaman (MRTA/MRTT) tidak menjamin Hibah Harta Bercagar boleh dilaksanakan.
  5. Penting untuk kita memahami secara mendalam akibat serta risiko dalam melakukan Hibah supaya dapat merancang harta dengan lebih teliti dan betul.
  6. Perlaksanaan bagi setiap dokumen perancangan perlu dititikberat supaya perancangan tidak menjadi sia-sia dan membebankan penerima harta tersebut.
  7. Melalui dokumen Pri Hibah, as-Salihin Trustee Berhad mensyaratkan harta yang dihibahkan mestilah bebas dari sebarang cagaran. Ini adalah bagi menjamin Hibah tersebut sah dan dapat dilaksanakan serta menjamin hak penerima sekaligus memberi perancangan yang berkualiti kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Artikel ini disediakan oleh En. Rasmin bin Hamzah Yap, Pegawai Latihan di as-Salihin Trustee Berhad.

Scroll to Top