Hubung Kait Surat Kuasa Wakil Dan Deklarasi Hibah

SURAT KUASA WAKIL (Power of Attorney):

Surat Kuasa Wakil adalah satu dokumen perlantikan wakil kuasa oleh pemberi kuasa kepada penerima kuasa untuk urusan tertentu di mana pemilik harta melantik seorang wakil yang akan bertindak bagi pihak beliau untuk menguruskan harta-harta beliau beserta kuasa-kuasa tertentu yang diberikan kepada wakil tersebut. Contohnya kuasa yang boleh diberikan adalah kuasa untuk memindah milik harta pemilik harta, menandatangani perjanjian jual beli, menandatangani perjanjian sewa beli, kuasa untuk memohon pengeluaran wang di institusi kewangan atau penutupan akaun serta membuat pelaburan dan lain-lain kuasa yang berkaitan harta-harta tertentu. Surat Kuasa Wakil ini boleh diguna pakai untuk harta alih dan harta tidak alih samada harta tersebut bercagar atau tidak bercagar.

Anggapan bahawa Surat Kuasa Wakil ini adalah satu instrumen pemberian atau hibah adalah SALAH. Sebaliknya ia adalah satu instrumen yang diguna pakai untuk membuat sebarang urusan berkenaan pemberian/hibah harta tersebut setakat kuasa yang diberi. Penerima kuasa wakil tersebut bukanlah benefisiari bagi harta tersebut tetapi beliau hanya mempunyai kuasa untuk bertindak membuat urusan berkenaan harta tersebut setakat kuasa yang diberi.

Pengesahan Surat Kuasa Wakil:

Surat Kuasa Wakil ini telah sah, wujud serta berkuatkuasa setelah ia disahkan/disaksikan oleh salah seorang daripada pihak berkenaan yang dinyatakan di dalam Seksyen 3 Akta Surat Kuasa Wakil 1949. Ia juga perlu di daftarkan di Mahkamah Tinggi Sivil dan disimpan satu salinan di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil.

Section 3 Powers of Attorney Act 1949

Authentication of powers of Attorney :

(1) No instrument purporting to create a power of attorney executed after the commencement of this Act shall have any validity to create such power within West Malaysia unless:
(a) if executed within West Malaysia, the instrument is executed before, and is authenticated in the appropriate form set out in the First Schedule hereto by-
(i) A Magistrate
(ii) A Justice of the Peace
(iii) A Land Administrator
(iv) A Notary Public
(v) A commissioner for Oaths; or
(vi) An advocate and solicitor; or
(vii) An officer, acting in the course of his employment of a company carrying on the business of banking in West Malaysia and incorporated by or under any written law in force in West Malaysia

Section 4 Powers of Attorney Act 1949

Deposit of Power of Attorney :
(1) Except as hereinafter provided no instrument purporting to create a power of attorney shall, after the commencement of this Act, have any validity to create such power within West Malaysia until :
(a) a true copy of the said instrument duly compared therewith and marked by the Senior Assistant Registrar within the words “true copy” has been deposited in the office of a Senior Assistant Registrar.


Surat Kuasa Wakil Menurut Islam

Surat Kuasa Wakil adalah bersamaan konsep Wakalah di dalam Islam iaitu mewakilkan seseorang /organisasi untuk menguruskan sebarang tugas atau urusan bagi pihaknya. Akad Wakalah ini memberi kuasa kepada wakil atau agen menjalankan sesuatu kerja bagi pihak yang diwakilinya.

Konsep Wakalah diguna pakai dalam bidang perbankan Islam serta Takaful dimana ia memberi kuasa kepada institusi berkenaan untuk melakukan transaksi tertentu. Manakala di dalam bidang guaman syarie Wakalah digunakan untuk memberi kuasa kepada Peguam Syarie untuk mewakili anak guam dalam Mahkamah Syariah. Setiap bidang berkenaan mungkin menggunakan nama yang berbeza tetapi tujuan dan maksud yang sama.

Pendapat dan tanggapan bahawa Surat Kuasa Wakil tu sebagai tidak menepati hukum Islam dan undang-undang Islam adalah tidak benar kerana jelas bahawa Surat Kuasa Wakil itu menepati dan bersamaan dengan konsep Wakalah di dalam Islam iaitu perlantikan wakil untuk melakukan urusan harta tertentu.

Di dalam al Quran juga ada menyebut berkenaan wakalah :
Surah al Kahfi Ayat 20;
“…..sekarang utuslah salah seorang daripada kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual disitu), kemudian ia membawa sedikit habuan untuk kamu.”

Surah Yusof Ayat 55;
“Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirnya.”

DEKLARASI HIBAH

Deklarasi Hibah adalah dokumen pemberian harta daripada pemilik harta kepada penerima harta dan ia berkuat kuasa semasa hayat penghibah . Harta hibah telah menjadi hak milik penerima hibah. Apabila penghibah meninggal dunia maka harta hibah tersebut bukan lagi harta atau pusaka penghibah. Urusan pindah milik atau pentadbiran harta hibah tersebut juga tidak perlu melalui proses pentadbiran pusaka.

Deklarasi Hibah yang ditawarkan oleh as- Salihin Trustee Berhad akan disertakan bersama Surat Kuasa Wakil. Ini bertujuan agar sebarang transaksi harta hibah seperti pindahmilik, pengeluaran wang di institusi kewangan atau penutupan akaun boleh diuruskan mengunakan Surat Kuasa Wakil tanpa melalui proses mahkamah untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet atau permohonan sijil Faraid. Urusan pindah milik dan pengagihan harta hibah akan dilaksanakan dengan lebih cepat, mudah dan lancar.

Deklarasi Hibah tersebut adalah menepati rukun dan syarat Hibah yang ditentukan oleh hukum Islam serta telah diluluskan oleh Lembaga Penasihat Syariah as-Salihin Trustee Berhad yang berwibawa dan pakar dalam bidang undang-undang Islam dan undang-undang Sivil.

Manakala Surat Kuasa Wakil menepati konsep Wakalah Muqayyad iaitu Wakalah yang terikat dengan syarat, masa dan keadaan tertentu. Surat Kuasa Wakil ini juga disempurnakan mengikut mengikut syarat-syarat penyaksian Islam dimana ia disaksikan oleh dua (2) orang saksi lelaki Muslim dewasa dan salah seorang daripada mereka mestilah Pesuruhjaya Sumpah atau Peguambela dan Peguamcara.

Surah Al-Baqarah ayat 282 menyebut berkenaan Penyaksian dalam Mualamat :
“….dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.”

Oleh demikian, dakwaan bahawa Deklarasi Hibah yang ditawarkan oleh as-Salihin Trustee Berhad adalah tidak menepati hukum Islam kerana menggunakan Surat Kuasa Wakil yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil dan tidak mendapatkan perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah adalah TIDAK BENAR.

Ditekankan bahawa Perintah Pengesahan Hibah hanya perlu dipohon daripada mana-mana Mahkamah Syariah sekiranya pertikaian ditimbulkan oleh mana-mana pihak terhadap Deklarasi Hibah tersebut. Pihak yang mempertikaikan tersebutlah yang wajar membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk membuktikan dakwaan beliau.

Untuk makluman, walaupun pengesahan hibah telah diperolehi daripada Mahkamah Syariah, pindah milik harta hibah kepada benefisiari selepas kematian penghibah hanya boleh dilaksanakan menggunakan salah satu daripada instrumen berikut iaitu Surat Kuasa Wakil atau Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet dan Perintah Pembahagian (mana yang berkenaan) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil atau Unit Pusaka Kecil.

as-Salihin Trustee Berhad diwujudkan adalah untuk membantu orang Islam merancang harta pusaka agar ia dapat diuruskan dengan mudah, lancar dan tanpa perlu melalui proses yang panjang. Semua produk yang dibangunkan serta ditawarkan oleh as-Salihin adalah telus mengikut hukum syarak serta peruntukan undang-undang di Malaysia supaya ia boleh dikuatkuasa tanpa sebarang masalah dan tanpa perlu melalui proses yang rumit dan panjang demi menjaga kemaslahatan umat Islam.

Akhir kata, Islam itu mudah selagimana sesuatu perkara itu tidak bertentangan dengan hukum Syarak dan membawa mudarat maka ia harus dilakukan dan tidaklah menjadi satu kesalahan.

Disediakan oleh

Amna Fazillah Ismail
Timbalan Presiden
as-Salihin Trustee Berhad

 

Scroll to Top