Pembahagian Harta Sepencarian Dalam Poligami Menurut Undang-undang Keluarga Islam

“Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.”
(Surah An-Nisa’, ayat 32)

Isu berhubung poligami di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sering menjadi tumpuan media massa khususnya hal yang menyentuh kedudukan hak isteri pertama terhadap harta dalam tempoh perkahwinan tersebut.

Pengorbanan mereka diiktiraf dalam undang-undang keluarga Islam dengan diberi kelebihan dari sudut membolehkan pembahagian harta sepencarian dalam perkahwinan berdasarkan tempoh usia perkahwinan yang lebih lama berbanding isteri-isteri yang lain.

Justeru, dapat difahami bahawa harta sepencarian bukan sahaja boleh dituntut semasa atau selepas berlakunya perceraian hidup ataupun kematian tetapi juga semasa perkahwinan masih berjalan iaitu semasa permohonan poligami ataupun setelah berlaku poligami.

Dalam hal ini, Mahkamah mempunyai kuasa untuk memberikan perintah pembahagian harta sepencarian sama ada poligami tersebut mendapat keizinan mahkamah atau tanpa kebenaran mahkamah.

Namun permohonan tuntutan harta sepencarian oleh pihak isteri bagi poligami tanpa kebenaran mahkamah (di luar negara) hanya boleh dilakukan jika poligami tersebut didaftarkan kerana hak harta sepencarian isteri yang sedia ada tidak akan hilang dengan sebab perkahwinan poligami dilakukan tanpa kebenaran mahkamah.

Peruntukan berkaitan  tuntutan harta sepencarian sebab berpoligami boleh dirujuk di dalam Enakman keluarga Islam bagi setiap negeri, Seksyen 23 (10) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan  bahawa:

“Tiap-tiap mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan poligami tersebut didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan tersebut untuk memerintahkan apa-apa aset yang telah diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.”

Kesimpulan

Jika suami berpoligami maka isteri berhak untuk menuntut Harta Sepencarian. Oleh itu adalah  penting untuk isteri sedia ada hadir ke Mahkamah Syariah dalam prosiding permohonan kebenaran berpoligami oleh suami untuk menuntut hak harta sepencarian ke atas harta suami tersebut dan mahkamah akan mengeluarkan perintah berkaitan tuntutan tersebut dan mahkamah akan menentukan kadar pembahagian harta sepencarian mengikut keterangan dan bukti daripada kedua belah pihak. Oleh itu, isteri-isteri wajar mengetahui hak mereka ke atas harta sepencarian agar ia terpelihara dan bertindak membuat tuntutan sewajarnya.

as – Salihin Trustee Berhad menawarkan khidmat Perjanjian Aset Perolehan Bersama (PAPB) dimana melalui perjanjian ini pasangan suami dan isteri boleh merancang pembahagian harta sepencarian antara mereka. Melalui penjanjian ini juga, proses tuntutan yang panjang dan rumit dapat dielakkan disamping hak-hak suami dan isteri tersebut terpelihara.

Artikel ini disediakan oleh Muhammad Lutfi bin Johari, Eksekutif, as-Salihin Trustee Berhad

Scroll to Top