Perbezaan Hibah Takaful Dan Hibah Harta

PENGENALAN

“Saya nak hibahkan semua harta kepada anak kerana mereka lebih perlu berbanding dengan adik beradik saya yang belum tentu akan menjaga anak-anak dan pasangan saya”

Kita biasa mendengar luahan dan tanggapan yang kurang tepat ini bukan? 

Mereka berasa takut dan risau tentang harta sehingga terlupa kepentingan waris faraid yang lain. Jom kita sama-sama fikirkan dan betulkan pemikiran ini. 

Orang muslim tidak perlu risau akan pembahagian harta pusaka selepas kematian. Ini kerana kita sudah mempunyai Hukum Faraid yang wajib untuk dilaksanakan sewaktu kematian. 

Tetapi hukum Faraid tidak dapat dilaksanakan tanpa proses pentadbiran harta pusaka yang perlu dilakukan dahulu sebelum pengagihan dapat dilakukan. Ketetapan hukum faraid oleh Allah s.w.t dalam surah an-nisa’.

Firman Allah SWT:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۚ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 11)

Bukan bermakna kita tidak dapat melakukan apa-apa tindakan.

Tetapi lebih baik kita melakukan sesuatu perancangan sebelum harta diagihkan.

 

1. APAKAH ITU HARTA PUSAKA?

Apakah perbezaan antara Hibah Takaful dan Hibah Harta?

Saya ingin memberi pencerahan kepada pembaca tentang istilah harta pusaka dan apa yang akan termasuk dan tidak termasuk sebagai harta pusaka. 

Istilah harta pusaka adalah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.

Di bawah ini saya letakkan jenis harta yang termasuk dan tidak termasuk kategori harta pusaka :

1.1 Termasuk Harta Pusaka

  • Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;
  • Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian;
  • Dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati;
  • Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;
  • Penama Takaful; dan
  • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat.

1.2 Bukan Harta Pusaka

  • Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah;
  • Khairat kematian;
  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
  • Imbuhan, pampasan dan sagu hati;
  • Pencen terbitan; dan
  • Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)

2. APAKAH ITU HIBAH?

Hibah ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.

Hibah adalah suatu perkara yang bukan termasuk dalam harta pusaka dan penerima hibah boleh menggunakan harta tersebut untuk dirinya secara mutlak.

Ahli waris yang lain tidak boleh mempertikaikan harta yang diperoleh oleh penerima hibah tersebut.

Pada masa kini, masyarakat Islam di Malaysia sudah sinonim dengan perkataan hibah takaful disebabkan ramai yang mengambil pelan hibah takaful untuk ditinggalkan kepada keluarga selepas berlakunya kematian.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa selain daripada hibah takaful, kita masih ada cara lain untuk menghibahkan harta kita seperti:

  • Wang ringgit
  • Akaun bank
  • Saham
  • Perniagaan
  • Tanah
  • Rumah
  • Bangunan
  • Pelaburan dan beberapa aset yang lain

Melalui syarikat Amanah seperti as-Salihin Trustee Berhad.

Ramai yang risau tentang perkara ini akan bercanggah dengan hukum dan seolah-olah mereka sudah menidakkan tentang hukum Faraid.

Dalam Islam ada Pensyariatan hibah yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadith Rasullah SAW seperti berikut;

Firman Allah SWT di dalam an-Nisa ayat 4:

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya”.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.”

(Riwayat al-Bukhari)

Apa yang kita faham?

Kita tidak dilarang melakukan apa-apa pemberian harta kepada siapa yang kita inginkan.

Tetapi perlu difahami bahawa  tidak digalakan melakukan pemberian (hibah) bagi keseluruhan harta, sehingga sewaktu berlakunya kematian, tiada harta yang berbaki untuk diwarisi kepada ahli waris Faraid.

Apa matlamat pemberian Hibah sebenarnya?

Supaya tidak bercanggah dengan apa yang Islam tetapkan. Ini kerana selepas kematian seseorang Muslim, masih ada sistem pembahagian harta pusaka Islam yang perlu dituruti seperti berikut:

  1. Menyelesaikan perbelanjaan pengkebumian;
  2. Menyelesaikan hutang-hutang (dunia dan akhirat);
  3. Menyelesaikan tuntutan harta sepencarian;
  4. Melaksanakan wasiat;
  5. Pembahagian harta yang tinggal mengikut Faraid.

Kita tidak mahu sewaktu meninggal dunia, seluruh harta telah diserahkan kepada orang lain atau waris, tetapi tanggungjawab kita belum selesai dengan urusan dunia dan akhirat.

Maka dia meninggal dunia dalam keadaan meninggalkan hutang dan tanggungjawab yang belum selesai.

Apabila bercakap tentang ini, Islam sangat menekankan tentang urusan hutang perlu diselesaikan walaupun tidak dituntut. Hutang adalah tanggungjawab kita bukannya tanggungjawab kepada ahli waris.

2.1 FUNGSI & JENIS-JENIS HIBAH

Ada sesetengah golongan masyarakat kita salah anggap, bahawa apabila mereka melakukan Hibah Takaful, semua masalah harta pusaka mereka dapat diselesaikan.

Hibah Takaful hanya berkait rapat dengan polisi takaful yang mereka miliki sahaja. Untuk urusan dengan harta lain seperti rumah, saham, barang kemas, kenderaan dan lain-lain tidak terlibat.

Hibah adalah kaedah perancangan perwarisan harta yang boleh dibuat ketika pemilik masih hidup dan di sini saya menerangkan 3 jenis hibah iaitu :

  1.  – Hibah Biasa ( Hibah Mutlak )
  2.  – Hibah Amanah
  3.  – Hibah Takaful ( Hibah Bersyarat )

2.2 HIBAH BIASA (Hibah Mutlak)

Hibah Mutlak ini adalah pemberian harta melalui hibah yang dibuat serta merta. 

Perpindahan hak milik harta hibah kepada penerima hibah telah disempurnakan serta merta dan semasa hayat penerima hibah. 

Harta Hibah ini bukan lagi penjadi harta pemberi hibah.

2.3 HIBAH AMANAH

Melalui Hibah amanah ini, pemberi hibah mensyaratkan pemindahan harta kepada penerima hibah hanya akan berlaku setelah beliau meninggal dunia. 

Adakah kita perlu melantik pemegang amanah untuk menguruskan pindah milik harta hibah kepada penerima hibah?

Ya, di as-Salihin Trustee Berhad, kami menawarkan Hibah Amanah dimana boleh melantik as-Salihin Trustee Berhad sebagai pemegang amanah untuk menguruskan pindah milik harta.

Apabila pemberi hibah meninggal dunia. Pemegang amanah iaitu as-Salihin Trustee Berhad hendaklah menyerahkan harta yang dihibahkan kepada penerima hibah seperti yang dinyatakan di dalam dokumen hibah.

Ini adalah cara seorang ayah yang ingin melakukan hibah amanah terhadap rumahnya kepada anak perempuannya dengan syarikat as-Salihin Trustee Berhad.

 

Pemilikan geran tanah hanya akan ditukar milik kepada anak perempuan itu, selepas bapanya meninggal dunia.

Proses pindah milik akan dilakukan sepenuhnya oleh as-Salihin Trustee Berhad, ini kerana syarikat tersebut sudah bertindak sebagai pemegang amanah gantian bagi pihak bapa tadi.

Kaedah ini sebenarnya dapat membantu dalam menyelesaikan banyak masalah pusaka. 

Kebanyakan isu masalah harta pusaka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat, disebabkan faktor kewangan, kurangnya ilmu pengurusan pusaka dan juga berlakunya pertelingkahan di kalangan ahli waris.

Baca: Pemberian Harta Melalui Hibah

2.4 HIBAH TAKAFUL ( Hibah bersyarat)

Hibah bersyarat digunakan oleh syarikat takaful untuk kaedah pembayaran tuntutan wang pampasan takaful apabila pemilik takaful meninggal dunia. 

Melalui hibah ini pembahagian wang pampasan takaful ini adalah kepada penerima hibah yang dinamakan di dalam di dalam borang hibah setelah kematian pemilik polisi takaful. 

Pembahagian ini adalah tidak tertakluk kepada pusaka dan hukum Faraid. Penerima hibah takaful adalah penerima mutlak bagi wang pampasan tersebut.

PENUTUP

Adakah perancangan harta digalakkan?

Ya, amat digalakkan. 

Walau bagaimanapun, perancangan pembahagian harta itu juga hendaklah selari dengan matlamat untuk mencapai keadilan kepada insan-insan yang kita sayangi.

Hibah ialah satu instrumen sewaktu kita masih hidup untuk melakukan perancangan harta supaya waris tidak akan bermasalah dan mengelakkan pertelingkahan sewaktu urusan pusaka dilaksanakan. 

Dalam masa yang sama juga, kaedah perancangan harta ini dapat mengelakkan ahli waris termakan harta secara batil.

Oleh hal yang demikian, ilmu tentang pengurusan harta pusaka hendaklah diperkembangkan supaya masyarakat lebih harmoni dan berkasih-sayang.

BIBLIOGRAFI

  1. Ahmad Tarmizi Jusoh. 2009. Pewaris Jutawan; Kaedah Merancang & Menguruskan Harta Pusaka Islam. Selangor: Truewealth Sdn. Bhd.
  2. Hilmi Haniz. 2013. Fajar Faraidh. Selangor: Akademi Al-Ghazali Sdn. Bhd.
  3. Md Ghazali Ibrahim. 2010. Urus Harta Sebelum Mati. Kuala Lumpur: Mustread Sdn. Bhd.
  4. Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin. 2009. Panduan Praktis Hukum Waris Menurut al-Quran dan as-Sunnah yang Shahih. Cetakan Ketiga. Bogor: Pustaka Ibnu Katsir.
  5. Bahagian Harta Baitulmal, “Wasiatislam”, https://wasiat.com.my/beza-hibah-dan-wasiat/
  6. as-Salihin Trustee Berhad, “Pri-Hibah”, https://as-salihin.com/en/services/pri-hibah/
  7. as-Salihin Trustee Berhad, “Hibah & Perlaksanaan Di Malaysia”, https://as-salihin.com/en/hibah-perlaksanaan-di-malaysia/
Scroll to Top