Perbezaan Wasiat Dan Hibah

KENAPA SAYA PERLU MERANCANG HARTA PUSAKA?

Perancangan Harta Pusaka adalah perkara yang amat penting untuk disediakan semasa hidup si pemilik harta, ini kerana kegagalan dalam menyediakan perancangan harta pusaka akan membawa kepada kesan sangat buruk seperti:

  1. Pertelingkahan di antara ahli keluarga sehingga boleh menyebabkan kesukaran dalam menjalankan pentadbiran dan pengurusan pusaka.
  2. Mengambil tempoh masa yang sangat lama, menelan kos dan modal yang tinggi.
  3. Memberikan tekanan fizikal dan mental kepada pentadbir mahupun waris-waris.

Serta bermacam-macam lagi yang akhirnya membawa kepada kegagalan dalam mencairkan dan mengagihkan harta pusaka tersebut. Pada tahun 2020 dicatatkan lebih RM70 billion harta pusaka yang terbeku.

JIKA SAYA INGIN MERANCANG HARTA PUSAKA, APAKAH DOKUMEN PERANCANGAN YANG SESUAI UNTUK SAYA PILIH?

Dalam dunia Perancangan Harta Pusaka Islam pelbagai jenis dokumen perancangan harta pusaka yang wujud seperti:

  1. Wasiat
  2. Hibah
  3. Deklarasi Harta Sepencarian
  4. Amanah; dan lain-lain dokumen.

Setiap dokumen mempunyai fungsi dan peranan serta keunikannya yang tersendiri dalam membantu umat Islam merancang harta pusaka dengan lebih terperinci dan kemas, namun pada topik kali ini kita akan membincangkan dua dokumen Perancangan Harta Islam yang popular dan sering digunakan di Malaysia iaitu WASIAT dan HIBAH.

APAKAH ITU WASIAT DAN HIBAH? APAKAH FUNGSI-FUNGSINYA?

Baik, kita mulakan dahulu dengan wasiat, wasiat ertinya iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak selepas dia mati. Wasiat mempunyai fungsi seperti:

  • Perlantikan Wasi: Pewasiat mempunyai kelebihan untuk memilih dan melantik wasi (iaitu Pemegang Amanah yang mempunyai kuasa mutlak mentadbirkan harta pusaka si pewasiat yang dilantik pewasiat itu sendiri semasa hidup).
  • Perlantikan Penjaga Harta: Pewasiat lelaki mempunyai kelebihan untuk memilih dan melantik Penjaga Harta yang akan menjaga harta bagi pihak waris-waris yang masih lagi dibawah umur dan OKU sehinggalah mereka semua cukup umur atau berkemampuan dalam menguruskan harta sendiri.
  • Penyelesaian hutang dan perbelanjaan: Harta pusaka si mati akan digunakan untuk penyelesaian hutang-piutang dahulu, ini juga terpakai untuk hutang dari sudut agama contohnya seperti zakat, fidyah, kaffarah, haji, nazar dan lain-lain.
  • Pemberian harta pusaka: Pewasiat boleh menyatakan hasrat pemberian harta di dalam wasiat mengikut keinginannya, namun ia terbahagi kepada dua keadaan:
  1. Pemberian kepada bukan waris faraid, contoh seperti anak angkat, sahabat dan lain-lain serta pemberian untuk tujuan sedekah, infaq atau wakaf.

Pemberian ini bersifat pilihan dan tertakluk kepada semaksimum 1/3 daripada seluruh harta pewasiat sahaja. Pemberian ini tidak boleh ditentang.

  1. Pemberian kepada waris faraid, contoh seperti ibu bapa, pasangan, anak lelaki dan lain-lain:

Pemberian yang tidak mengikut kadar Faraid adalah dibenarkan tetapi perlaksanaan pemberian tersebut  perlu persetujuan semua waris-waris selepas kematian pewasiat, jika semua waris bersetuju dengan wasiat tersebut maka pemberian akan dibuat mengikut wasiat namun jika ada waris yang tidak  bersetuju dengan maka wajib diserahkan  bahagian faraid mereka  yang tidak bersetuju itu.

  • Pengagihan Baki Harta: Wasiat mempunyai fungsi untuk menguruskan harta pusaka walaupun harta tersebut tidak dinyatakan di dalam wasiat ataupun mungkin tidak wujud semasa wasiat itu dibuat tetapi wujud semasa kematian pewasiat.
  • Arahan tambahan dan pesanan terakhir: pewasiat boleh menyatakan apa-apa sahaja arahan dan pesanan kepada waris-waris selagi mana ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan hukum syarak.

Nota: Arahan tambahan dan pesanan terakhir tidak mempunyai kesan undang-undang jika ia tidak dilaksanakan.

Manakala Hibah pula adalah pemberian yang diberikan oleh Pemberi hibah kepada penerima secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hibah mempunyai satu fungsi sahaja iaitu pemberian harta kepada penerima hibah yang disukai, pemberian hibah tiada kadar dan had tertentu ia juga tidak tertakluk kepada hutang dan faraid.

Perlaksanaan hibah terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Hibah Mutlak: suatu pemberian yang terus disempurnakan pemilikannya ke atas harta tersebut, iaitu akad hibah dan pindahmilik dilakukan serta merta semasa hidup pemberi hibah, contoh:

‘Rasmin menyatakan hasrat pemberian sebuah rumah kepada isterinya iaitu Hartini dan membuat penukaran hakmilik terus dipejabat tanah semasa hidup.

  1. Hibah Amanah: suatu deklarasi pemberian harta yang dibuat oleh pemberi hibah kepada penerima hibah. Dimana selagi pemberi hibah itu masih hidup beliau akan memegang harta hibah sebagai Amanah bagi pihak benefisiari.

Pindah milik harta hibah kepada penerima hibah akan disempurnakan apabila pemberi hibah meninggal dunia atau hilang upaya kekal

Di as-Salihin Trustee Berhad mencadangkan kepada para pelanggan kami untuk membuat perancangan Hibah Amanah melalui perkhidmatan kami yang dinamakan sebagai Pri-Hibah

Kesimpulannya, setiap perancangan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing terpulanglah kepada individu itu sendiri untuk memilih perancangan mana yang perlu dibuat samada wasiat atau hibah ataupun kedua-duanya sekali.

Namun kami menasihatkan agar anda semua mendapatkan nasihat dan konsultansi daripada yang pakar dahulu sebelum membuat keputusan dokumen yang perlu dipilih untuk dijadikan perancangan.

Alhamdulillah kami di as-Salihin Trustee Berhad mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk membantu anda dalam membuat pilihan yang tepat. Sila hubungi kami untuk mendapatkan khidmat nasihat dan konsultansi secara PERCUMA.

Artikel ini disediakan oleh En. Rasmin bin Hamzah Yap, Pegawai Latihan di as-Salihin Trustee Berhad.

Scroll to Top