Perkara Yang Anda Perlu Tahu Apabila Pasangan Meninggal Dunia

Kematian orang yang tersayang adalah sesuatu yang menyedihkan, namun ianya tidak dapat dielakkan dan merupakan realiti yang perlu dihadapi. Sekirannya anda telah berkahwin, pastinya menjadi doa dan harapan agar anda dan pasangan dapat bersama sehingga ke hari tua.

Tetapi sekiranya ajal menjemput dalam keadaan kita belum bersedia, apakah yang akan terjadi? Berikut dikongsikan beberapa perkara yang perlu anda tahu selepas berlakunya kematian orang yang tersayang.

a. Adakah saya boleh menuntut nafkah saya atau anak-anak saya daripada harta pusaka suami saya?
kewajipan seorang lelaki untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak terhenti sebaik sahaja beliau meninggal dunia. Nafkah yang boleh dituntut daripada harta pusaka adalah nafkah yang tertunggak semasa suami masih hidup sahaja. Tuntutan nafkah tertunggak boleh dimohon di Mahkamah Syariah. Seterusnya anda perlu kemukakan perintah mahkamah berkenaan kepada Wasi/Pentadbir harta pusaka bagi tujuan tuntutan pembayaran.

b. Saya mempunyai akses terhadap wang tunai suami saya. Bolehkah saya menggunakan duit beliau untuk tujuan kelangsungan hidup?
Semua harta yang ditinggalkan oleh si mati adalah harta pusaka. Dimana keutamaanya untuk menyelesaikan hutang dan perbelanjaan harta pusaka si mati. Bakinya (jika ada) akan diagihkan kepada waris-waris si mati. Sekiranya ahli keluarga memerlukan wang untuk kelangsungan hidup sebelum perkara diatas diselesaikan maka dengan persetujuan semua waris beliau boleh menggunakannya dan mengambil setakat bahagian yang beliau berhak keatas keseluruhan pusaka. Jika kegunaan melebihi bahagian beliau maka beliau perlu membayarnya semula atau mendapatkan persetujuan ahli waris lain untuk menghalalkan apa yang beliau telah gunakan.

c. Suami saya telah menamakan saya sebagai penama di KWSP/Tabung Haji/Takaful/Insurans. Bolehkah saya menggunakan duit tersebut untuk manfaat diri saya sendiri?
Penamaan anda sebagai Penama untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Insurans bukanlah menjadikan anda sebagai benefisiari. Penama hanya bertindak sebagai Wasi/Pemegang Amanah bagi wang tersebut. Wang tersebut tidak boleh digunakan untuk manfaat diri sendiri, sebaliknya perlu digunakan untuk pentadbiran harta pusaka dan bakinya jika ada perlu diagihkan mengikut hukum Syarak kepada waris-waris yang berhak. Sekiranya Wasi/Pentadbir pusaka si mati telah dilantik, adalah lebih baik diserahkan wang tersebut kepada beliau/mereka bagi memastikan ketelusan dalam pentadbiran dan pengagihan harta pusaka serta mengelakkan pertelingkahan.

Manakala penamaan wang di Tabung Haji atau Takaful pula perlulah melihat kepada jenis penamaan. Sekiranya anda dinamakan atas dasar Hibah, maka anda bolehlah menerima wang tersebut sebagai benefisiari. Tetapi sekiranya anda dinamakan atas dasar Wasi/Pemegang Amanah, maka anda perlu bertindak seperti peraturan penamaan KWSP/Insurans seperti yang dinyatakan di atas.

d. Bagaimana caranya untuk saya mendapatkan bahagian yang lebih daripada bahagian Faraid saya?
pasangan suami atau isteri bagi si mati bolehlah membuat permohonan tuntutan Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah bagi harta-harta yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan. Melalui tuntutan ini beliau akan mendapat bahagian ke atas Harta Sepencarian yang ditentukan oleh Mahkamah Syariah serta bahagian ke atas hak faraid mereka.

e. Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya dilantik sebagai pemegang amanah untuk harta anak-anak saya yang masih di bawah umur?
Semua harta-harta tak alih yang diwarisi oleh anak-anak di bawah umur perlulah didaftarkan ke atas nama anda sebagai pemegang amanah. Bagi wang tunai, sebaiknya anda perlu membuka satu akaun amanah untuk anak-anak tersebut bagi tujuan ketelusan. Anda perlu memastikan bahawa wang tersebut akan diuruskan dan digunakan untuk kebajikan anak-anak tersebut. Pemegang amanah mestilah berhati-hati serta membuat rekod/menyimpan resit penggunaan wang tersebut dan ianya mestilah digunakan untuk manfaat anak-anak tersebut.

Sebagai penutup, di dalam menguruskan harta pusaka orang yang telah meninggal dunia, matlamat utama mestilah untuk memastikan urusan harta pusaka Si Mati berjalan lancar dan hutang dan perbelanjaan pusaka beliau diselesaikan terlebih dahuli sebelum pengagihan dilakukan. Oleh itu, perancangan harta pusaka adalah amat penting, bukan sahaja untuk memastikan harta pusaka kita diuruskan dengan telus dan baik, malah ianya juga dapat menjamin kesejahteraan waris yang bakal kita tinggalkan.

Artikel ini disediakan oleh Cik Rahimah Binti Sazali, Penolong Pengurus, Jabatan Pengurusan Harta Pusaka.

Scroll to Top