Profesor Madya Dr. Siti Mashitoh binti Mahamood

B. Sh. (Hons) (UM), M.Sh. (UM), Ph.D (Birmigham).

Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Profesor Madya Dr Siti Mashitoh Mahamood adalah seorang Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Malaysia. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian Kelas Pertama daripada Fakulti Syariah, Akademi Islam, Universiti Malaya pada tahun 1992. Pada tahun 1996, beliau dianugerahkan Sarjana Syariah oleh Universiti yang sama. Beliau menamatkan pengajian kedoktorannya pada tahun 2000 di University of Birmingham, United Kingdom dengan pengkhususan dalam bidang Wakaf dan Undang-undang Harta Islam. Bidang kepakaran beliau adalah dalam Wakaf dan Undang-Undang Harta Islam (melibatkan Hibah, Wasiat, Pusaka, Zakat dan Baitulmal), Pengurusan Harta dan Perancangan Pusaka Orang Islam dan Undang-Undang Pentadbiran Harta Orang Islam. Beliau banyak menulis artikel dan buku dalam bidang kepakarannya. Beliau telah menerima pelbagai pingat emas dan anugerah kecemerlangan untuk kerja-kerja penyelidikan, pembangunan kerjaya dan perkhidmatan akademik yang dilaksanakan. Artikel scopus beliau dalam jurnal Humanomics bertajuk “Financing universities through waqf, pious endowment: is it possible?” telah menerima anugerah Outstanding Paper Award for the Emerald Literati Network Awards for Excellence 2016 daripada Emerald Group Publishing Limited, United Kingdom.
Profesor Madya Dr Siti Mashitoh Mahamood merupakan seorang Peguam Syarie bagi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah As-Salihin Trustee Berhad, Ahli Jawatankuasa Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf UM – MAIWP dan Ahli Jawatankuasa Tabung Zakat UM. Beliau juga terlibat sebagai Ahli Pasukan Petugas (Task force) Berhubung Dengan Pemerkasaan Governan Harta Orang Islam, JAKIM di mana undang-undang berkaitan kehartaan orang Islam dideraf serta dikodifikasikan. Beliau terlibat dalam pelbagai projek dan aktiviti perundingan dengan institusi kerajaan dan swasta, termasuk firma undang-undang Syariah dan undang-undang Sivil. Beliau juga terlibat dalam menyediakan pendapat undang-undang dan bertindak sebagai saksi pakar untuk kes-kes Mahkamah di Malaysia serta institusi lain, termasuk beberapa institusi antarabangsa mengenai perkara wakaf & kehartaan Islam lainnya. Beliau sangat aktif dalam usaha penggubalan dan pindaan Undang-undang Wakaf negara termasuk untuk Wilayah-Wilayah Persekutuan selain terlibat secara langsung dalam penggubalan Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015. Selain itu, beliau juga terlibat dalam penggubalan dan pindaan undang-undang Islam lainnya termasuk Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) (Pindaan) 2016. Beliau merupakan Mantan dan orang pertama yang dilantik sebagai Pengarah UM Awqaf di Universiti Malaya bagi menguruskan wakaf. Hasil penyelidikan dan pengalaman peringkat nasional dan antarabangsa yang diperolehinya daripada projek-projek penyelidikan universiti wakaf telah digunakan untuk pelaksanaan wakaf Universiti Malaya. 10 Oktober 2018 merupakan tarikh bersejarah kerana pada tarikh tersebut UM telah diberikan status Mutawalli oleh MAIWP untuk tujuan pelaksanaan Wakaf UM. Beliau juga telah memulakan kutipan Wakaf Universiti Malaya pada tahun yang sama. Profesor Madya Dr Siti Mashitoh Mahamood telah juga terlibat menganggotai pelbagai portfolio sebagai Penasihat dan Ahli Lembaga Pengarah di Yayasan Waqaf Malaysia (YWM): iaitu sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia (2019 – April 2023), Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah (2021- April 2023), Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Surat Ikatan Amanah Tambahan (JKSIAT) (2020) dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah (2010–2015 & 2019-2021) bagi Yayasan Waqaf Malaysia.
Scroll to Top