Wasiat Menurut Islam

Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya.

Orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar: Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak baik bagi seorang Muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam, kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya.”
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Faraid dan Wasiat saling memerlukan di antara satu sama lain. Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut Islam seperti anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan. Wasiat juga merupakan instrumen perwarisan yang membolehkan pewasiat menjana pahala dengan memperuntukan harta untuk sedekah dan jariah.

Dalam perlaksanaan Wasiat, hukum Faraid memastikan bahawa pewasiat tidak boleh menghalang ahli-ahli keluarga yang berhak menurut Al-Quran daripada menerima pusaka. Tidak seperti undang-undang sivil, pewasiat bebas untuk menghalang ahli keluarganya mewarisi hartanya di dalam Wasiat. Seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga (1/3) daripada hartanya kepada bukan waris. Sekiranya pewasiat ingin mewasiatkan harta
kepada bukan waris melebihi 1/3 bahagian, maka pemberian tersebut perlu dipersetujui oleh semua waris.

Kesedaran tentang Faraid & peranan Wasiat

Secara umumnya, ramai orang Islam salah faham tentang konsep Faraid. Sebenarnya harus difahami bahawa Faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu bukannya menentukan bentuk pembahagian. Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris.

Orang Islam digalakkan membuat wasiat dan melantik Wasi untuk mentadbir hartanya apabila meninggal dunia. Di dalam Wasiat tersebut mereka boleh menetapkan pembahagian harta pusaka tersebut mengikut Faraid dari segi saham atau bahagian serta mereka boleh menentukan secara khusus kaedah perletakan hak harta–harta tertentu kepada waris-waris tertentu berdasarkan saham mereka menurut Faraid. Contohnya anak lelaki diberikan sebuah rumah, manakala tanah pertanian diberikan kepada anak perempuan.
Dengan cara demikian, masalah perkongsian satu harta bersama semua waris dapat dielakkan. Sekiranya harta yang ditinggalkan tidak banyak, adalah lebih baik pewasiat memberi kuasa kepada Wasi untuk membahagikan harta mengikut hukum Faraid dan pada masa yang sama memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak dengan budi bicaranya untuk membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira aspek ekonomi tanpa menjejaskan hak waris.

Kesimpulannya, Wasiat bukanlah sekadar dokumen pengagihan harta tetapi ia adalah dokumen penting yang digunakan untuk mempercepatkan dan memudahkan urusan pentadbiran dan pengagihan harta pusaka untuk manfaat keluarga yang telah ditinggalkan.

as-Salihin Trustee Berhad merupakan syarikat amanah yang menyediakan perkhidmatan perancangan
harta pusaka iaitu Wasiat, Perjanjian Aset Perolehan Bersama, Deklarasi Hibah, Amanah Hayat, Amanah Takaful, Warisan Perniagaan serta Pentadbiran Harta Pusaka. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web www. as-salihin.com atau Facebook laman rasmi as-Salihin Trustee Berhad atau hubungi talian 03- 78809595 atau emel general@as-salihin.com.

Artikel ini disediakan oleh Amna Fazillah Binti Ismail, Timbalan Presiden as-Salihin Trustee Berhad.

Scroll to Top