YAA Prof. Adjung Dato' Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar

LLB (UIAM), LLM (London), DSLP (UIAM), DAIJ (UIAM), Ph.D Sh. (UKM).
Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

YAA Prof. Adjung Dato’ Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, kini merupakan Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Beliau telah dipilih dan berkhidmat sebagai Cheavening Felo Pelawat Malaysia di Oxford Centre for Islamic Studies, Universiti Oxford, United Kingdom bagi tahun 2008/2009.
Beliau juga telah dilantik sebagai Felo Pelawat di Harvard Law School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan berkhidmat di Universiti Harvard pada bulan Februari 2013 sehingga Mei 2013. YAA Prof. Adjung Dato’ Dr. Haji. Mohd. Na’im telah dilantik sebagai Pemeriksa Luar bagi calon PhD Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga berkhidmat sebagai panel dan ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Beliau juga telah dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga memperolehi Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) dari University of London, United Kingdom, Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan dari UIAM, Diploma dalam Pentadbiran dan Kehakiman Islam dari UIAM dan Doktor Falsafah (PhD) Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pensyarah Undang-undang di UIAM dari tahun 1990 hingga 1997. Beliau kemudian menjadi Peguam Syarie di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan dan menjadi Peguam Bela & Peguam Cara Malaya pada tahun 1997 hingga 1998. Pada tahun 1998, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Petaling sehingga tahun 2001. Beliau juga telah menjadi Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dari tahun 2001 sehingga 2003. Pada tahun 2003, beliau telah dilantik oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai pegawai penyelidik sehingga tahun 2005. Beliau juga merupakan pensyarah di UKM dan UIAM pada tahun 2003 sehingga 2008. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan pada tahun 2007-2008.

Beliau telah mengambil bahagian dalam seminar tempatan dan antarabangsa dalam bidang pengkhususan beliau. Beliau juga telah membentangkan kertas kerja mengenai undang-undang keluarga, subjek syariah dan topik berkaitan di persidangan tempatan serta forum luar negara. YAA Prof. Adjung Dato’ Dr. Haji Mohd. Na’im juga menganggotai beberapa Lembaga Penasihat Syariah bank-bank Islam tempatan dan asing serta syarikat-syarikat takaful.

Scroll to Top