Fun Run Ulang Tahun ke-20 Tahun as-Salihin Trustee Berhad

Shah Alam, 24 Ogos – as-Salihin Trustee Berhad, sebuah syarikat amanah yang berpengalaman dalam perancangan harta pusaka Islam, telah meraikan ulang tahun ke-20 dengan penganjuran acara “5KM Fun Run” di Taman Botani Negara, Shah Alam. Acara tersebut telah dirasmikan oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Tn. Hj. Abdul Aziz Peru bin Mohamed.


Lebih 300 orang peserta termasuk kakitangan, Perancang Harta Pusaka Islam (IEP), dan rakan korporat telah mengambil bahagian. Acara ini bukan sekadar mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga menjadi simbol perjalanan panjang as-Salihin dalam menggalas amanah perancangan harta pusaka. Laluan larian yang mencabar pula mencerminkan dedikasi syarikat dalam menempuh pelbagai cabaran demi memacu kecemerlangan dalam industri pengurusan harta pusaka Islam.


Selain mempererat hubungan antara kakitangan, Perancang Harta Pusaka Islam, dan rakan korporat, acara ini turut menyerlahkan komitmen as-Salihin Trustee Berhad untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada umat Islam di Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Haji Abdul Aziz Peru bin Mohamed menegaskan kesungguhan syarikat dalam memperluas perkhidmatan serta meningkatkan kesedaran masyarakat Islam di Malaysia tentang kepentingan perancangan harta pusaka yang teratur dan berlandaskan syariah.


as-Salihin Trustee Berhad mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan kami sepanjang dua dekad ini. Dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, pihak syarikat bertekad untuk terus menjadi pusat perancangan harta pusaka Islam yang dipercayai di Malaysia.

Scroll to Top