Merancang Warisan Perniagaan Adalah Penting Untuk Kesinambungan Perniagaan

Seorang ahli perniagaan yang memiliki perniagaan sering merancang pengurusan dan perjalanan perniagaannya agar perniagaan tersebut berjaya serta memberikan keuntungan. Walau bagaimanapun kejayaan yang dibina tersebut akan gagal dinikmati oleh waris -waris atau pihak-pihak yang berhak atau kejayaan tersebut akan musnah jika beliau gagal merancang kaedah pewarisan perniagaan yang betul atau gagal menetapkan pihak yang layak untuk mengambil alih perniagaan beliau apabila beliau meninggal dunia atau tidak berupaya menguruskan perniagaan.

Melalui pengalaman penulis dalam mengendalikan urusan harta pusaka, penulis melihat bahawa perkara-perkara berikut sering berlaku apabila pemilik perniagaan meninggal dunia yang akhirnya  mengakibatkan perniagaan akan mengalami susut nilai atau tamat.

  1. Pindah milik pegangan saham syarikat tidak dapat dilakukan segera. Ia hanya boleh dilaksanakan setelah surat kuasa mentadbir pusaka diperolehi daripada mahkamah tinggi  atau Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (unit pusaka kecil) atau Amanah Raya Berhad mengikut nilaian harta si mati.  Proses ini akan mengambil masa yang lama.  Kelewatan pindah milik pegangan saham syarikat akan mengakibatkan urus tadbir perniagaan terganggu sekiranya si mati adalah pihak yang mengendalikan perniagaan secara mutlak.
  2. Pegangan saham syarikat dipindah milik mengikut hukum Faraid dimana ramai benefisiari yang akan  mewarisi saham tersebut. Pecahan saham kepada ramai dan pelbagai benefisiari ini akan mengakibatkan gangguan ke atas pengurusan dan perjalanan  syarikat dimana  akan berlaku pertikaian sekiranya tiada persefahaman dalam menguruskan perniagaan.
  3. Keadaan akan bertambah buruk apabila perniagaan diambil alih oleh benefisiari yang tiada kemahiran serta pengalaman menguruskan syarikat atau tiada minat terhadap perniagaan tersebut.
  4. Benefisiari yang mewarisi perniagaan tersebut tidak boleh bekerjasama dengan rakan kongsi sedia ada.
  5. Rakan kongsi sedia ada tidak boleh menerima kehadiran ahli keluarga si mati sebagai pemilik baru
  6. Ahli keluarga yang ditinggalkan memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan dimana si mati merupakan ketua keluarga yang menyediakan semua keperluan keluarga. Ahli keluarga yang ditinggalkan tiada sumber pendapatan  lain untuk membiayai kehidupan.

Dalam merancang perwarisan perniagaan, pemilik perniagaan perlu mengambil kira perkara-perkara di atas untuk kestabilan perniagaan serta kebajikan ahli waris yang ditinggalkan. Perancangan yang dibuat mestilah mencapai objektif seperti berikut:

  1. Pindah milik perniagaan kepada benefisiari boleh dilakukan dengan kadar segera tanpa bertangguh bagi menjamin kestabilan perniagaan.
  2. Perniagaan akan diambil alih oleh benefisiari yang diinginkan, layak, berkemahiran serta mempunyai minat yang tinggi terhadap perniagaan tersebut. Jika benefisiari belum berkelayakan maka pemilik perniagaan wajar melatih beliau lebih awal sebagai persediaan untuk mengambil alih perniagaan tersebut.
  3. Menjaga keharmonian hubungan diantara pemilik baru dan rakan kongsi sedia ada agar perniagaan berjalan lancar.
  4. Menyediakan dana yang mencukupi untuk waris-waris meneruskan kehidupan terutamanya jika ada waris di bawah umur atau waris tiada kemahiran untuk melibatkan diri dengan perniagaan tersebut.

as-Salihin Trustee Berhad menawarkan 3 produk yang sesuai untuk merancang perwarisan perniagaan seperti yang dinyatakan berikut:

  1. Hibah Perniagaan – Pemilik perniagaan boleh hibahkan pegangan saham dan perniagaan beliau kepada benefisiari tertentu yang beliau inginkan serta benefisiari tersebut mampu mengendalikan perniagaan. Melalui hibah ini pindah milik pegangan saham syarikat dapat dilaksanakan dengan kadar segera tanpa bertangguh.
  2. Amanah Hayat – Pemilik perniagaan melantik as-Salihin Trustee Berhad untuk bertindak sebagai pemegang amanah yang akan memegang saham perniagaan untuk kepentingan dan kebajikan benefisiari yang telah ditentukan oleh pemilik perniagaan tersebut. Legasi perniagaan akan terpelihara melalui produk ini.
  3. Pri Niaga – iaitu perjanjian penjualan dan pembelian pegangan saham kepada rakan kongsi sedia ada atau kakitangan sedia ada yang mahir atau pelabur baru. Hasil jualan saham ini boleh digunakan oleh ahli keluarga si mati untuk kelangsungan hidup. Disamping pembeli saham ini dapat meneruskan perniagaan dengan lancar tanpa gangguan daripada ahli keluarga si mati.

Pemilik perniagaan disarankan untuk memilih salah satu daripada pilihan di atas mengikut hasrat dan objektif yang ingin beliau capai. Perniagaan adalah bersifat dinamik oleh itu    pilihan dan kaedah merancang yang tepat akan menjamin kesinambungan dan legasi perniagaan tersebut serta kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan akan terpelihara.

Artikel ini disediakan oleh Amna Fazillah Binti Ismail, Timbalan Presiden as-Salihin Trustee Berhad.

Scroll to Top