Pemberian Harta Pusaka Melalui Wasiat

Wasiat boleh ditafsirkan sebagai iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati sepertimana yang telah dinyatakan di bawah Seksyen 2 Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999.

Terdapat perbezaan di antara pemberian melalui hibah dan pemberian melalui wasiat. Pemberian melalui Wasiat hanya berkuatkuasa sewaktu sewaktu berlaku kematian kepada pewasiat. Manakala pemberian melalui hibah berkuatkuasa sewaktu pemberi hibah masih hidup.

Pemberian di dalam Wasiat & Faraid

Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nisa, ayat 11:

مِنۡۢ بَعۡدِ وَصِيَّةٍ يُّوۡصِىۡ بِهَاۤ اَوۡ دَيۡنٍ

Bermaksud: (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya.

Berdasarkan ayat di atas, kita dapat lihat bahawa di dalam Al-Quran Allah telah menetapkan pembahagian secara faraid itu ialah selepas diselesaikan pemberian di dalam wasiat si mati serta sesudah dibayarkan hutang si mati. Dengan kata lain, pemberian di dalam wasiat wajib didahulukan sebelum pengagihan baki harta mengikut faraid. Sekiranya harta pusaka telah diberikan melalui wasiat tanpa meninggalkan sebarang baki harta, maka waris- waris tidak akan mendapat hak faraid mereka daripada harta pusaka tersebut.

Pemberian kepada waris

Pemberian di dalam wasiat boleh diberikan kepada waris dan bukan waris. Ada segelintir masyarakat di luar sana salah faham terhadap pemberian kepada waris di dalam wasiat dengan menyatakan pemberian kepada waris
di dalam wasiat adalah haram. Hakikatnya, pemberian kepada waris di dalam wasiat adalah dibenarkan oleh Hukum Syarak sekiranya mendapat persetujuan waris-waris si pewasiat

yang lain berlandaskan hadis daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:-

لا وصية لوارث إلا أن يأذن الورثة

Bermaksud: “tidak harus wasiat kepada waris kecuali, diizinkan oleh waris yang lain”
(Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a)

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat lihat bahawa pemberian kepada waris melalui wasiat dibenarkan dengan syarat perlu mendapatkan persetujuan semua waris-waris faraid si pewasiat yang lain dan persetujuan tersebut mestilah diperolehi selepas kematian pewasiat tersebut.Ditekankan bahawa pemberian kepada waris faraid yang tidak mengikut faraid tertakluk kepada persetujuan waris faraid selepas kematian pewasiat.

Pemberian kepada bukan waris

Pemberian tidak melebihi 1/3 harta yang dinyatakan di dalam wasiat kepada bukan waris seperti anak angkat, ahli keluarga yang berlainan agama atau untuk tujuan sedekah dan amal jariah adalah mutlak. Tidak memerlukan sebarang persetujuan daripada waris-waris pewasiat. Hal ini kerana pewasiat mempunyai hak dan dibenarkan untuk berbuat demikian.

Perkara ini berlandaskan hadis Rasulullah S.A.W. yang mana sahabat Baginda S.A.W. iaitu Saad
Bin Abi Waqash bertanya sama ada beliau boleh sedekahkan hartanya sebanyak dua pertiga ataupun setengah daripada hartanya. Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda;

“Jangan, sepertiga sahaja. Sepertiga itu banyak. Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan miskin dan

meminta-minta kepada orang lain.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, peraturan 1/3 adalah khas untuk pemberian di dalam wasiat kepada golongan bukan waris yang mana pemberian ini tidak boleh ditentang oleh waris-waris lain, melainkan ia melebihi dari 1/3. Sekiranya ia melebihi 1/3, untuk melaksanakan wasiat tersebut, wasi/pentadbir pusaka perlu mendapatkan persetujuan waris-waris faraid si pewasiat pada bahagian yang melebihi 1/3 tersebut.

Selain daripada pemberian kepada individu, pewasiat juga boleh membuat wakaf dan sedekah di dalam wasiatnya. Akan tetapi sekiranya wasiat dibatalkan, hendaklah wakaf tetap diteruskan dan dianggap sebagai hutang manakala sedekah pula akan terbatal sekiranya wasiat tersebut dibatalkan.

Kesimpulan

Islam menggalakkan umatnya untuk menulis wasiat sesuai dengan hadis yang mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “bukanlah seorang muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan, untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah tertulis dan disimpan dibawah kepalanya”. (Sahih Al-Bukhori)

as-Salihin Trustee Berhad merupakan syarikat amanah yang menyediakan perkhidmatan perancangan harta pusaka iaitu Wasiat, Deklarasi Hibah, Perjanjian Aset Perolehan Bersama, Amanah Hayat serta Pentadbiran Harta Pusaka. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.as-salihin.com atau Facebook Laman Rasmi as-Salihin Trustee Berhad atau hubungi kami di talian 03-78809595 atau email general@as-salihin.com.

Artikel ini disediakan oleh Muhammad Akmal Bin Azmi, beliau adalah Pegawai Latihan di as-Salihin Trustee Berhad.

Scroll to Top