Penjaga Harta Dan Pemegang Amanah

penjaga harta dan pemegang amanah

Isi Kandungan

Berita kemalangan maut yang telah berlaku di Lebuhraya Persekutuan bertarikh 23 Julai 2019 melibatkan kematian pasangan suami isteri menimbulkan perasaan sedih orang ramai. Mangsa meninggalkan 2 anak perempuan yang masih kecil masing-masing berusia 4 tahun dan 6 tahun.

Anak-anak tersebut menjadi yatim piatu di usia yang sangat muda. Mereka masih mentah untuk memahami kesan kematian ibu bapa mereka, tetapi yang bermain difikiran dan perasaan mereka sudah tentulah rasa rindu yang amat mendalam kepada kedua ibu bapa mereka tersebut. Tiada lagi belaian dan pelukan daripada ibu bapa kesayangan. Berat sungguh ujian anak-anak ini. Terfikir di benak fikiran saya, bagaimana anak- anak ini akan meneruskan kehidupan mereka.

Siapakah yang sudi mengambil alih tugas ibu bapa mereka untuk menjaga dan menyara mereka yang mana tugas ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan rasa tanggungjawab yang tinggi serta pengorbanan tenaga dan wang ringgit. Semoga urusan anak- anak ini dipermudahkan oleh Allah serta mereka sentiasa dibawah lindunganNYA.

Jika ini berlaku kepada kita, adakah kita telah membuat perancangan dan persediaan untuk anak-anak yang ditinggalkan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan yang baik dan kebajikan mereka tidak terabai.

Yang pasti anak-anak kita yang masih di bawah umur perlukan tempat perlindungan yang selamat, Penjaga diri serta Penjaga Harta yang dipercayai, bantuan untuk meneruskan hidup serta pelajaran mereka, mereka perlukan seseorang yang amanah untuk menguruskan harta pusaka yang bakal mereka warisi kelak serta sokongan dan bantuan jika mereka ditinggalkan dalam keadaan kurang baik.

Justeru itu, ibu bapa yang mempunyai anak bawah umur, mereka perlu bersedia dan buat perancangan seperti yang dinyatakan dibawah agar kebajikan anak-anak yang ditinggalkan terjamin.

Pertama: Menulis Wasiat Segera

Wasiat adalah satu-satunya dokumen yang akan bercakap bagi pihak kita apabila kita telah meninggal dunia. Ia juga boleh menjamin dan memelihara hak anak-anak yatim serta mengelakkan pihak-pihak tertentu memakan harta yang batil dan membuat dosa kerana mengambil harta dengan cara yang tidak sepatutnya.

Dalam merangka wasiat, elemen penting adalah Perlantikan WASI dan PENJAGA HARTA.

Perkara-perkara penting berikut mestilah diambil kira :

a) Melantik WASI yang bertanggungjawab dan berkebolehan untuk mentadbir harta pusaka. Dengan ini urusan pengumpulan aset, pencairan aset, penyelesaian hutang dunia dan akhirat serta pengagihan harta dapat dilakukan dengan segera tanpa bertangguh.

b) Melantik PENJAGA HARTA yang amanah dan bertanggungjawab untuk memegang dan menguruskan harta yang bakal diwarisi oleh anak- anak di bawah umur. Dimana penjaga perlulah menguruskannya dengan amanah untuk kebajikan anak-anak tersebut sehingga mereka berusia 18 tahun. Pewasiat juga boleh memberikan arahan khusus kepada penjaga tentang cara menguruskan harta yang diwarisi oleh anak-anak semasa tempoh jagaan.

c) Menyenaraikan liabiliti serta harta yang sedia ada untuk memudahkan urusan Wasi membuat pentadbiran.

d) Menyatakan hasrat untuk pengagihan kepada harta

e) Digalakkan untuk memperuntukan tidak melebihi 1/3 daripada harta untuk tujuan amal jariah atau wakaf sebagai saham akhirat. Boleh juga diberikan kepada benefisiari selain daripada waris faraid seperti anak angkat, ahli keluarga yang bukan beragama Islam.

f) Meninggalkan pesanan dan amanat terakhir dan nasihat yang baik kepada waris-waris.

Kedua: Membentuk Amanah bagi harta Tunai dan sijil Takaful atau polisi Insurans

Melalui pembentukan amanah ini kita boleh melantik pemegang amanah yang jujur dan amanah serta berwibawa untuk memegang dan menguruskan harta-harta amanah mengikut terma dan syarat yang kita tentukan serta menentukan bahagian yang akan diterima oleh setiap benefisiari.

Harta-harta amanah tersebut tidak akan terbeku selepas kematian pemiliknya kerana diuruskan oleh pemegang amanah malah ia juga tidak tertakluk kepada hukum Faraid dan ia bukan pusaka. Malah Harta Amanah boleh digunakan sebagai sumber utama dan cepat untuk kegunaan anak- anak yang ditinggalkan bagi tujuan saraan hidup, pendidikan, kesihatan dan lain-lain keperluan mereka apabila ibu atau bapa meninggal dunia.

Melantik Penjaga Harta dan Pemegang Amanah yang tepat, betul, bersifat jujur dan amanah serta berwibawa adalah amat penting kerana mereka akan mengambil alih tugas ibu bapa serta memikul tugas dan tanggungjawab yang amat berat untuk memastikan segala hak dan kebajikan anak- anak yatim terpelihara.

Tugas dan tanggungjawab mereka disebut oleh Allah di dalam surah An Nisa ayat 2 seperti berikut:

Firman Allah bermaksud, “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) harta mereka, dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik dengan yang buruk, dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya dengan harta kamu) kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah dosa besar.”

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web www.as-salihin.com atau FB Laman Rasmi as-Salihin Trustee Berhad atau hubungi talian 03-78809595 atau email general@as-salihin.com

Artikel ini disediakan oleh Amna Fazillah Binti Ismail, Timbalan Presiden as-Salihin Trustee Berhad.

Scroll to Top