Wasiat Mulut, Adakah Boleh Diterima Pakai?

wasiat mulut adakah boleh diterima pakai

Wasiat Mulut, Adakah wasiat mulut atau lisan (perkataan) boleh atau diterima pakai dari segi undang-undang Syariah?

Setelah pewasiat meninggal dunia, Wasiat mulut atau lisan hanya boleh dilaksanakan dan dikuatkuasakan sekiranya semua waris Faraid pewasiat tersebut bersetuju untuk melaksanakannya atau setelah satu perintah pengesahan wasiat tersebut adalah sah telah dikeluarkan oleh  Mahkamah Syariah.  

Mengikut subseksyen 4(1) & (2), Enakmen Wasiat Selangor 1999, membawa maksud bahawa sesuatu wasiat yang diiktiraf kewujudannya oleh Mahkamah adalah Wasiat secara bertulis dan ditandatangani oleh pewasiat di hadapan dua (2) orang saksi. 

Sebarang wasiat yang dibuat secara lisan perlulah dibuktikan kewujudannya dan kesahihannya melalui keterangan dua (2) orang saksi  melalui permohonan perintah pengesahan wasiat di Mahkamah Syariah. 

Dalam membuat keputusan mahkamah akan meneliti semua  keterangan saksi-saksi tersebut bagi membuktikan kewujudan wasiat lisan tersebut dan wasiat tersebut adalah menepati hukum syarak.

WASIAT BERTULIS adalah kaedah terbaik bagi memastikan ia boleh digunapakai dan dikuatkuasakan tanpa sebarang masalah. Wasiat yang baik adalah wasiat yang menepati hukum syarak dan menepati undang-undang.

Di dalam Wasiat, Pewasiat  boleh   menyatakan hasrat  untuk pembahagian harta yang dibenarkan oleh hukum syarak serta  yang paling penting adalah melantik Pentadbir (Wasi) yang berwibawa  untuk memastikan  pentadbiran dan pembahagian  harta pusaka dapat diuruskan dengan baik serta memberi kesenangan dan keselesaan kepada ahli keluarga.

Artikel ini disediakan oleh Ahmad Nasarudin Husain,Eksekutif, as-Salihin Trustee Berhad.

Scroll to Top