Seorang ibu tunggal berusia 52 tahun memikul tanggungjawab untuk menyara dua orang anaknya yang kurang upaya (OKU) dan ibunya.
Ibu tunggal tersebut merupakan pencari nafkah keluarga dan hanya bergantung pada perniagaan menjual roti jala pada bulan Ramadan di sekitar kawasan perumahannya di Taman Putra Damai, Lembah Subang. Ini adalah satu-satunya sumber pendapatan baginya untuk teruskan kehidupan di Kawasan bandar walaupun keluarganya memerlukan perhatian penuh. Tanggungjawab yang berat untuk menjaga ibu yang terlantar sakit , mengasuh anak-anak serta berulang alik ke hospital untuk rawatan anak OKU menyebabkan beliau jarang memperolehi pendapatan yang tetap daripada perniagaan kecilnya.
Selain itu juga terdapat pasangan suami isteri dilahirkan dengan kecatatan penglihatan. Mereka memiliki dua orang anak dan salah seorangnya juga dilahirkan dengan kecacatan penglihatan. Pasangan suami isteri hanya bekerja menjual buah-buahan tempatan seperti pisang dan betik dan anggaran hasil jualan hanyalah sekitar enam ratus ringgit Malaysia setiap bulan. Disamping itu mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia sebanyak empat ratus dan lima puluh Ringgit Malaysia setiap bulan. Mereka menggunakan wang tersebut untuk saraan hidup, pendidikan dan kebajikan anak-anak mereka.
Ibu tunggal tanpa pendapatan tetap di Flat Pantai Ria, Pantai Dalam Kuala Lumpur, mengalami sakit tulang belakang bertahun lamanya akibat kemalangan. Beliau memiliki anak seramai 5 orang kesemuanya masih di bawah umur dan dua diantara mereka adalah anak Orang Kelainan Upaya. Menyara hidup dengan bantuan kewangan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia sebanyak Empat Ratus dan Lima puluh ringgit Malaysia sebulan serta ihsan orang ramai.
Anggaran pendapatan bersih isi rumah bagi keluarga miskin bandar ini dalam purata sekitar Enam Ratus Ringgit Malaysia. kekangan keadaan ekonomi akibat pandemik Covid-19 telah menambah kesulitan hidup mereka.
Ini adalah antara keluarga yang telah menerima sumbangan daripada as-Salihin Trustee Berhad dalam usaha membantu 50 keluarga yang dikategorikan sebagai miskin bandar. Semua keluarga merupakan penduduk di kawasan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di Lembah Subang, Kampung Lindungan , Taman Medan, Taman Dato Harun dan Pantai Dalam.
as-Salihin Trustee Berhad iaitu syarikat amanah yang menyediakan perkhidmatan Perancangan dan Pentadbiran Harta Pusaka bagi orang Islam menganjurkan program khidmat masyarakat dengan memberi bantuan kewangan kepada keluarga kategori miskin bandar tersebut dengan bantuan beberapa sekolah yang terletak di kawasan yang dinyatakan seperti Sekolah Kebangsaan Kelana Jaya, Sekolah Kebangsaan Lembah Subang, Sekolah Rendah Taman Medan, dan Sekeloah sekitar Pantai Dalam.
Presiden as-Salihin Trustee Berhad, Tuan Haji Abdul Aziz Peru Mohamed mengetuai program ini. Proses pencarian dan pengesahan keluarga yang layak menerima bantuan kewangan tersebut dibuat dengan teliti dan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai as-Salihin Trustee Berhad. Tugas tersebut dilaksanakan mengikuti SOP di bawah garis panduan kerajaan.
Tuan Haji Abdul Aziz Peru Mohamed berkata orang ramai digalakkan supaya membantu golongan miskin bandar tanpa mengira bangsa dan agama bagi meringankan bebanan mereka.
Program bantuan kewangan ini merupakan program khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh as-Salihin Trustee Berhad pada setiap tahun di bulan Ramadhan. Pada tahun ini kami mensasarkan keluarga miskin bandar sebagai penerima bantuan kewangan tersebut kerana Kami prihatan tentang keadaan dan bebanan mereka.
