Syarat Sah Menulis Wasiat Mengikut Undang-Undang

Harta anda mungkin terbeku dan tidak dapat dinikmati atau diterima oleh ahli keluarga tanpa perancangan awal sebelum berlaku kematian. Ketahui risiko yang anda bakal hadapi sekiranya anda MENANGGUHKAN & TIDAK MELAKUKAN perancangan harta pusaka.

Orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar: Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak baik bagi seorang Muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam, kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya.” Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1).

Wasiat merupakan dokumen Undang-Undang yang menyatakan iqrar dan pesanan bagaimana aset pewasiat ingin diuruskan selepas kematian. Sekiranya individu meninggal dunia tanpa berwasiat, pusaka beliau mungkin tidak dapat diserahkan kepada benefisiari yang dihajati.

Syarat Menulis Wasiat Mengikut Undang-undang

Menurut undang-undang di Malaysia, terdapat beberapa syarat yang menjadikan wasiat sah di sisi undang-undang iaitu: 

  1. Individu wajib berumur sekurang-kurangnya 18 tahun semasa menulis wasiat;
  2. Sempurna akal (waras) dan sihat tubuh badan;
  3. Tanpa paksaan dan desakan daripada sesiapa
  4. Tidak dilarang untuk mentadbir harta contohnya bankrap
  5. Mempunyai kemampuan menurut undang-undang untuk membuat wasiat.

Masalah yang boleh berlaku sekiranya seseorang meninggal dunia tanpa wasiat:

  1. Harta pusaka akan terbeku.
  2. Waris buntu dan terbeban untuk menguruskan harta pusaka sekiranya si mati tidak membuat wasiat. 
  3. Waris mengalami masalah dalam mengenalpasti harta serta hutang yang ditinggalkan oleh si mati
  4. Proses pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat akan mengambil masa yang lama. Ia akan menyebabkan waris lewat mendapat hak mereka yang sepatutnya. Berkemungkinan juga akan  berlakunya kematian waris dalam tempoh tersebut dan keadaan ini akan lebih menyukarkan  urusan pentadbiran pusaka.
  5. Menangguhkan pentadbiran pusaka boleh menyebabkan pertambahan ahli waris seterusnya menjejaskan nilai bahagian penerima yang berhak diterimanya.

Harta Pusaka adalah merangkumi semua aset tak alih dan alih yang didaftarkan di atas nama si mati. Aset tersebut hanya akan dibahagikan setelah hutang piutang, belanja pengkebumian dan lain-lain perbelanjaan pentadbiran berkaitan  pusaka  diselesaikan.  Wasiat adalah penting dalam merancang dan mentadbir harta pusaka. Sikap bertangguh untuk menulis  Wasiat akan menyukarkan waris yang ditinggalkan.

Scroll to Top